Teknologi Multimedia dalam Pendidikan
Terdapat
TEKS
Memandangkan penggunaan teks dalam suatu proses komunikasi maklumat telah lama wujud, ianya sering kali dianggap sebagai satu media tradisi. Namun demikian, penggunaan teks dalam satu sistem multimedia sememangnya merupakan sesuatu yang tidak dapat dinafikan kepentingannya. Walaupun terdapat pelbagai elemen media yang bersifat lebih menarik dan dinamik, teks masih lagi diperlukan sebagai salah satu elemen utama dalam proses penyampaian maklumat.
Teks secara amnya merujuk kepada huruf-huruf yang tersusun bagi membentuk satu makna yang boleh difahami atau membawa pengertian yang tertentu. Teks juga merujuk kepada semua jenis simbol, huruf, abjad, nombor, statistik dan pelbagai jenis tulisan dan fon yang menjadi asas utama bagi penyaluran maklumat masa dahulu dan juga masa kini.
Panduan Menggunakan Teks di dalam Aplikasi Multimedia atau Laman Web Pendidikan
- Walaupun teks merupakan antara sumber yang terbaik bagi menyampaikan sesuatu maklumat, kadang kala ianya gagal untuk menyebarkan sesuatu maklumat dengan kadar yang pantas. Contohnya, sekiranya seseorang hanya diberi masa selama 3 saat bagi menarik perhatian pengguna dalam sesuatu sesi persembahan, teks agak sukar menangani keadaan ini dengan berkesan.
- Berikut merupakan beberapa garis panduan dan perkara yang perlu diberi perhatian semasa anda bekerja dengan teks di dalam pembangunan sesebuah aplikasi multimedia.
Grafik boleh merujuk kepada pelbagai persembahan imej atau paparan visual yang tidak bergerak seperti gambar, lukisan, lakaran, gambarfoto, ilustrasi dan sebagainya. Ianya merupakan antara elemen multimedia yang amat penting bagi memberi penekanan dalam suatu proses penyampaian maklumat. Penggunaan grafik dikatakan mampu menyampaikan sesuatu maklumat dengan lebih pantas dan tepat memandangkan ianya disampaikan dalam bentuk visual.
Grafik juga dikatakan mampu membantu dalam menerangkan sesuatu maklumat dengan lebih tepat dan berkesan. Penggunaan graf atau carta misalnya mampu memaparkan peningkatan atau penurunan jumlah jualan bagi sesebuah syarikat dengan lebih berkesan berbanding penggunaan teks atau jadual semata-mata. Grafik juga mampu menjadikan sesuatu persembahan atau penyampaian maklumat lebih menarik dan mampu memfokuskan perhatian pengguna terhadap maklumat yang ingin disampaikan.
Panduan Menggunakan Grafik dalam Aplikasi Multimedia atau Laman Web Pendidikan
Apabila grafik digunakan di dalam sesuatu persembahan, tujuan utamanya ialah bagi menyediakan satu persekitaran yang lebih cantik dan mampu menarik perhatian pengguna. Selain dari itu, apa yang paling penting ialah grafik yang digunakan mampu menyampaikan mesej atau maklumat dengan tepat dan tidak mengelirukan. Walau bagaimanapun, penggunaan grafik yang tidak dirancang dengan betul dan digunakan tanpa rasional yang bersesuaian biasanya hanya mengundang masalah yang berlarutan.
Berikut merupakan sebahagian dari garis panduan serta perkara yang perlu diberi perhatian semasa bekerja dengan grafik di dalam pembangunan sesebuah aplikasi multimedia atau laman web khususnya yang berkaitan dengan bidang pendidikan :
- Pilih grafik yang bersesuaian dengan kumpulan sasaran
- Pilih grafik yang tidak menyentuh sensitifiti kaum dan agama
- Pilih kategori grafik yang sesuai dengan keperluan tugas
- Pilih kedalaman warna yang bersesuaian dengan keperluan aplikasi
- Gunakan spesifikasi grafik yang boleh digunakan tanpa masalah pada sistem berkeupayaan rendah
Kesan audio atau bunyi merupakan salah satu suatu daya penarik yang berkesan untuk menarik perhatian seseorang. Audio di dalam sesuatu sistem multimedia boleh merujuk kepada pelbagai jenis seperti rakaman suara, suara latar, muzik, kesan khas audio dan sebagainya.
Di dalam sesuatu sistem multimedia interaktif, elemen audio boleh digunakan bagi membantu proses penyampaian persembahan agar ianya lebih mantap dan berkesan. Selain dari itu, audio juga mampu meningkatkan motivasi di kalangan para pengguna agar lebih berminat mengikuti suatu proses penyampaian maklumat. Di samping itu juga, elemen audio dikatakan mampu menimbulkan suasana yang lebih menarik dan akan menghasilkan tumpuan yang lebih terhadap apa yang ingin dipersembahkan.
Panduan Menggunakan Audio dalam Aplikasi Multimedia atau Laman Web Pendidikan
- Audio hanya digunakan jika ianya didapati bersesuaian dengan isi kandungan aplikasi atau program.
- Audio hanya digunakan sekira ianya diperlukan atau pun terdapat rasional mengapa ianya digunakan.
- Sekiranya audio digunakan, pastikan pengguna mempunyai kuasa kawalan terhadapnya. Kuasa kawalan di sini merujuk kepada kuasa mengawal ketinggian audio, memberhentikan audio dan sebagainya.
- Elakkan menggunakan terlalu banyak kesan audio yang sama di dalam sesebuah aplikasi bagi mengelakkan kebosanan. Sebagai contoh, pelajar mungkin akan merasa kagum atau seronok apabila mendengar kesan audio yang tertentu apabila mereka bergerak dari satu skrin ke satu skrin yang baru. Namun demikian mereka pastinya akan mula merasa bosan apabila kesan audio yang sama terus digunakan berulang-ulang setiap kali mereka memasuki skrin baru.
- Gunakan size sampel atau kadar sampel yang tidak terlalu tinggi bagi tujuan rakaman atau semasa menyimpan fail audio. Selain dari mengurangkan saiz fail audio, kualiti audio yang terhasil juga sudah memadai bagi digunakan di dalam sesebuah aplikasi multimedia.
- Elakkan daripada menggunakan audio sekiranya ia didapati boleh mengganggu persembahan.
Video merupakan antara elemen multimedia yang dikatakan paling dinamik dan juga realistik berbanding elemen-elemen yang lain. Ianya juga dikatakan merupakan gabungan pelbagai media (seperti teks, grafik, audio dan sebagainya) di dalam satu medium. Oleh yang demikian, penggunaan video dalam proses penyampaian maklumat berupaya untuk mempengaruhi motivasi seseorang terhadap proses penerimaan maklumat. Selain dari itu, video juga mampu membawa unsur realistik atau keadaan sebenar kepada para pengguna. Ini secara tidak langsung akan mempengaruhi perasaan dan emosi para penggunanya dengan lebih nyata.
Penggunaan Video Digital dalam Pendidikan
Penggunaan video sememangnya menjanjikan pelbagai kelebihan sama ada apabila ianya digunakan secara sendirian apatah lagi apabila diintegrasikan bersama di dalam sesebuah aplikasi multimedia atau laman web pendidikan. Berikutnya merupakan sebahagian daripada kelebihan penggunaan video di dalam aplikasi multimedia pendidikan dan juga seterusnya dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Maklumat Lebih Realistik
Seperti mana yang telah diterangkan sebelum ini, video mampu mempersembahan sesuatu mesej dalam keadaan yang realistik atau menyerupai keadaan yang sebenar. Ini membolehkan seseorang pelajar dapat merasakan seolah-olah mereka berada atau turut serta dalam suasana yang digambarkan.
Mampu Me rangsang Pelbagai Deria
Video juga merupakan satu media dinamik hasil jalinan pelbagai media yang lain (seperti audio, grafik dan sebagainya). Ini secara tidak langsung mampu meningkatkan lagi keberkesanan proses penyampaian sesuatu mesej kerana media yang bersifat dinamik serta mempunyai jalinan pelbagai media mampu merangsang pelbagai deria dengan lebih mudah dan berkesan.
Memudahkan Proses Pengulangan
Menerusi penggunaan video, sesuatu penerangan yang perlu dilakukan secara berulang-ulang boleh dilakukan dengan lebih mudah. Sebagai contoh, penerangan mengenai sesuatu proses kerja di makmal boleh dirakamkan dan kemudiannya dipaparkan kembali kepada pelajar bila-bila masa yang diperlukan. Pelajar juga boleh menonton klip video tersebut bagi membentuk kefahaman yang lebih mendalam apabila diperlukan.
Meningkatkan Keberkesanan Proses Pengajaran dan Pembelajaran
Video sebagai media penyampaian ilmu mampu menjadikan sesuatu proses pengajaran dan pembelajaran lebih berkesan. Penggunaan media ini boleh mempercepatkan kadar pemahaman seseorang pelajar. Pelajar juga boleh belajar sama ada secara individu atau berkumpulan tanpa memerlukan tenaga pengajar disamping mereka sepanjang masa.
Mampu Meraih Emosi dan Mengubah Sikap
Paparan atau persembahan video yang lebih hidup dan realistik mampu meraih emosi seseorang dengan lebih mudah berbanding penggunaan imej atau media lain yang statik sifatnya. Sebagai contoh, dalam proses menyampaikan mesej mengenai bahaya peperangan, paparan video yang memaparkan keadaan mangsa perang dengan mudahnya mampu memberi kesan kepada emosi penonton dan seterusnya mengusik jiwa dan perasaan mereka. Ini secara tidak langsung boleh mengubah sikap seseorang dengan lebih mudah dan pantas.
Menyediakan Kuasa Kawalan Kepada Pelajar
Walaupun sifat asas sesuatu klip video digital adalah dinamik tetapi ianya mampu dikawal menerusi kemudahan yang disediakan oleh teknologi perisian. Para pelajar boleh memainkan video, memberhentikan seketika atau mengulang kembali klip-klip video digital yang disediakan mengikut keperluan dan tahap kemahiran masing-masing. Ini secara tidak langsung membolehkan sesuatu proses pembelajaran dilakukan mengikut keperluan dan tahap penerimaan pelajar dan bukannya mengikut keperluan tenaga pengajar semata-mata.
Membentuk Kemahiran dengan Lebih Pantas dan Berkesan
Dalam mempelajari sesuatu kemahiran fizikal seperti kemahiran menggunakan perisian komputer, kemahiran melakukan ujikaji, kemahiran mengendalikan peralatan dan sebagainya, demonstrasi atau tunjuk ajar secara langsung amat diperlukan. Ini bagi membantu proses membina kefahaman dan seterusnya membentuk kemahiran seperti mana yang diperlukan. Video digital boleh digunakan bagi membantu dalam proses membentuk kemahiran dengan lebih pantas dan berkesan. Pelajar boleh menonton serta mengawal perjalanan video mengikut keperluan dan tahap kefahaman masing-masing.
Menjimatkan Masa, Tenaga dan Perbelanjaan
Proses penyediaan elemen video digital biasanya memerlukan perkakasan atau perisian khas yang agak mahal harganya. Namun demikian dari segi jangka panjang, ianya merupakan satu pelaburan yang bijak kerana ianya mampu menjimatkan sama ada dari aspek masa, tenaga dan juga kos perbelanjaan. Masa persediaan bahan bantu pengajaran dalam tempoh masa panjang misalnya boleh diringkaskan kerana klip-klip video yang berkaitan dengan keperluan telah disediakan lebih awal. Proses pengajaran di dalam kelas juga boleh menjadi lebih pantas dan mudah menerusi penggunaan video digital yang ditayangkan. Penerangan yang panjang lebar serta sesi demonstrasi yang meleret-leret juga tidak diperlukan lagi. Ini adalah kerana proses penerangan menerusi video yang menggabungkan elemen-elemen seperti imej, muzik dan suara latar mampu memberi penjelasan yang lebih jelas kepada para pelajar.
Rujukan Asal
Jamalludin Harun & Zaidatun Tasir (2003), Multimedia dalam Pendidikan , PTS Publications: Bentong
Jamalludin Harun & Zaidatun Tasir. (2000). “ Pengenalan Kepada Multimedia ”, Kuala Lumpur : Venton Publishing.
Untuk maklumat lanjut, layari laman web berikut : http://www.jz-media.com
Anggota Kelopok :
Dhimas Agung Prasetya
Egi Rzcky Triyana
Komentar
Posting Komentar